Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Menteri Pertahanan Turki, Fikri Isik pada Rabu lepas berkata bahawa seramai 113 anggota tentera laut dan 427 anggota tentera udara telah digantung tugas buat sementara waktu kerana disyaki mempunyai hubungan dengan Fethullah Gulen. Beliau adalah seorang ulama yang berpusat di A.S yang mana Ankara menuduhnya sebagai arkitek kepada cubaan rampasan kuasa Julai lepas yang menyaksikan 270 orang terkorban.
Isik berkata bahawa seramai 368 orang daripada mereka merupakan para pegawai angkatan tentera tanpa menjelaskan pangkat anggota yang selebihnya.
Pada hari selasa lepas, Turki juga telah menggantung 12801 orang pegawai polis daripada tugas mereka yang mana 2523 orang daripada mereka dilaporkan sebagai memegang jawatan ketua polis. Kesemua mereka disyaki mempunyai kaitan dengan Gulen.
Sejak cubaan rampasan kuasa itu diisytiharkan tamat oleh Ankara pada 16 Julai lepas, Turki telah melancarkan kempen untuk membasmi elemen-elemen di dalam rampasan kuasa tersebut. Menurut laporan, setakat ini seramai 100000 orang telah dipecat atau digantung daripada tugas mereka rentetan daripada kempen tersebut. Kerajaan pusat memecat dan menggantung para suspek berasaskan akta darurat yang diperkenalkan selepas cubaan rampasan kuasa itu menemui jalan buntu sambil berkata bahawa langkah-langkah tersebut perlu diambil untuk memastikan para suspek tidak mempengaruhi siasatan yang sedang dijalankan.
Ankara juga mempertahankan langkah mereka yang menentukan bahawa para pegawai yang digantung tugas hanya akan menerima dua pertiga daripada gaji mereka.
Kerajaan-kerajaan barat dan organisasi hak asasi manusia telah mengkritik keras langkah yang diambil Ankara dengan menuduh Turki telah bertindak di luar batasan undang-undang di dalam memburu mereka yang terlibat di dalam cubaan rampasan kuasa tersebut.
Para pembangkang secara lantang mengkritik tindakan Erdogan dan parti pemerintah dengan Kemal Kilicdaroglu, ketua parti CHP mengatakan bahawa Turki telah berubah menjadi penjara "separa terbuka" semenjak ia memulakan kempen di atas.
Ankara baru-baru ini telah memperpanjangkan akta darurat bermula daripada 19 Oktober ini.
Turki gantung 500+ anggota tenteranya kerana disyaki punya kaitan dengan Gulen.
Lebih 500 Anggota Tentera Turki Digantung Tugas Di Atas Dakwaan Terlibat Di Dalam Cubaan Rampasan Kuasa
5 Oktober 2016 - 18:32
News ID: 783653
Lebih daripada 500 orang anggota tentera Turki telah digantung tugas di atas tuduhan terlibat di dalam cubaan rampasan kuasa pada pertengahan Julai lepas.